fb fb fb fb fb

Skuter elektrik terbakar, nilai kerugian hampir RM50,000

30 skuter elektrik terbakar di Terengganu

KUALA NERUS, 15 Februari- Sebanyak 30 buah skuter elektrik musnah 100 peratus dalam kebakaran di Taman Tasik Bandar Baru Kuala Nerus, pagi tadi.

Jelas Ketua Balai Bomba Kuala Nerus Penolong Kanan Penguasa Bomba Azmi Omar, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada pukul 6.19 pagi.

"Seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus membantu memadamkan kebakaran. Ketika ini, Bahagian Siasatan Kebakaran Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian," katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, pemilik operasi hiburan skuter Bandar Baru Kuala Nerus, Nazrin Salahuddin berkata kesemua skuter tersebut sedang dalam proses untuk dibawa pulang selepas operasi hiburan selesai kira-kira pukul 2.00 pagi tadi.

"Disebabkan masalah pengangkutan, skuter berkenaan terpaksa ditinggalkan di lokasi insiden sehingga pukul 5.15 minit pagi. Nilai kerugian dianggarkan hampir RM50,000," kata Nazrin.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM