fb fb fb fb fb

ASIAN MEDTEC 2024: KL bakal jadi pusat inovasi teknologi, peranti perubatan terkini

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

PUTRAJAYA, 15 Februari- Persidangan dan Pameran Teknologi Perubatan Antarabangsa Asian 2024 (ASIAN MEDTEC 2024) bakal menarik lebih 250 syarikat pempamer dan 10,000 pengunjung daripada 25 negara.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, ia turut melibatkan aktiviti perdagangan antarabangsa dan sesi padanan perniagaan.

"Penganjuran acara dan program seperti ini sejajar dengan New Industrial Master Plan 2030 (NIMP 2030) untuk mendorong negara ke arah menjadi antara pemain utama sektor ini.

"Para pengilang peranti perubatan diharap memanfaatkan Malaysia sebagai pusat pemasaran dan pengedaran strategik, bukan sahaja untuk pasaran tempatan tetapi juga untuk pasaran serantau yang lebih luas", katanya dalam sidang media Majlis Pra-Pelancaran ASIAN MEDTEC 2024 di Putrajaya.

Tambah beliau, menerusi program tersebut, Kuala Lumpur bakal menjadi pusat inovasi teknologi dan peranti perubatan terkini.

"ASIAN MEDTEC 2024 akan menampilkan program komprehensif yang terdiri daripada persidangan, perhimpunan dan ceramah teknologi yang dirancang khusus untuk menangani keperluan yang berkembang dalam industri teknologi dan peranti perubatan.

"Pertemuan pakar-pakar industri, kelompok penyelidik, pelabur, pengguna dan pihak berkuasa di bawah satu bumbung dijangka akan menjadi pemangkin penting dalam meningkatkan inovasi dan peluang kerjasama", katanya.

Selain itu, turut berlangsung pada program tersebut ialah Mesyuarat Tahunan Global Harmonization Working Party (GHWP) ke-28 yang menghimpunkan delegasi pihak berkuasa dan industri daripada 34 negara.

ASIAN MEDTEC 2024 akan berlangsung selama tiga hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bermula 10 hingga 12 Disember 2024.

ROSLINA BINTI DIN