
KANGAR, 8 Februari – Seramai 30 pelajar baharu dalam kalangan asnaf dan B40 terpilih menyertai Program ‘Zero to Hero’ kendalian Walta Centre of Excellence (WCOE).
- Program Zero to Hero tingkat kemahiran dan penempatan kerja bagi 30 pelajar asnaf serta B40.
- Tajaan penuh MAIPs melalui ATAM, fokus pada latihan preventif untuk elak kemiskinan jangka panjang.
- Pendidikan teknikal dan vokasional jadi laluan kearah berdikari, sumbang kembali kepada masyarakat.
Program itu ditaja penuh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs Sdn Bhd (ATAM).
Menurut Pengurus Besar Akademi Transformasi Asnaf MAIPs, Muhamad Farid Abdul Rahim, program berkenaan dilaksanakan bagi memperkasa ekonomi golongan asnaf dan B40.
Ia menerusi pendekatan preventif untuk mengelakkan kemiskinan melalui latihan kemahiran serta penempatan kerja.
Program itu selaras dengan matlamat pendidikan berkualiti serta pekerjaan yang layak dan pertumbuhan ekonomi.
Jelasnya, pelaburan terhadap pembangunan insan melalui model latihan dan pekerjaan berkenaan mampu melahirkan generasi asnaf yang berkemahiran, berdikari dan berupaya menyumbang semula kepada masyarakat.
Muhamad Farid berkata pendekatan itu menjadikan pendidikan teknikal dan latihan vokasional sebagai laluan keluar daripada kemiskinan jangka panjang, sekali gus memperkasa golongan asnaf daripada penerima zakat kepada pemberi zakat.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian dan pelepasan 30 pelajar baharu asnaf bagi mengikuti Program ‘Zero to Hero’ kendalian WCOE Pulau Pinang.
WCOE Pulau Pinang merupakan antara lebih 20 syarikat yang bekerjasama dengan MAIPs dan ATAM dalam menyediakan latihan kepada golongan asnaf.
Tambahnya lagi, selepas 10 tahun Akademi Transformasi Asnaf diwujudkan, hampir 2,000 pelajar asnaf dari Perlis telah menyertai pelbagai program tajaan MAIPs.
Program berkenaan berjaya menghasilkan penempatan kerja sama ada dalam industri tempatan mahupun luar negara.