GUA MUSANG, 27 September - Seramai 3,000 penduduk orang asli di empat perkampungan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri kini menikmati perkhidmatan internet satelit Starlink secara percuma.
Kemudahan itu dipasang bersama sistem solar di Kampung Bering Lama, Pos Tohoi, Kampung Kuala Wias dan Kampung Gob.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, pemasangan tersebut ditaja oleh Tenaga Nasional Berhad Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat dengan kos RM20,000.
Menurutnya, perkhidmatan Starlink tersebut memberi manfaat besar kepada penduduk kerana liputan internet amat penting sebagai medium komunikasi dan sumber maklumat, terutama bagi kawasan pedalaman.
"Ianya memberikan kemudahan kepada penduduk di sini kerana liputan talian dan internet cukup penting tak kira berada di mana. Ianya menjadi medium maklumat apa-apa terjadi. Semestinya penduduk Pos Gob tidak ketinggalan dan hari ini berjaya diadakan sebuah Starlink untuk penduduk di sini. Starlink ini tidak perlu dibayar dan mudah digunakan penduduk," katanya.
Sementara itu, penduduk di Pos Gob meluahkan rasa syukur kerana tidak lagi perlu mendaki bukit atau berjalan kaki berjam-jam untuk mendapatkan liputan internet selepas pemasangan dilakukan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Gob, Hady Liman berkata, kemudahan tersebut sangat membantu ketika berlaku kecemasan kerana sebelum ini sukar untuk mendapatkan talian komunikasi.
Seorang penduduk, Azmi Adik pula menyifatkan kemudahan itu memudahkan mereka mendapatkan maklumat dari luar serta berhubung dengan lebih pantas, selain berterima kasih kepada kerajaan, TNB dan wakil rakyat setempat atas usaha berkenaan.