fb fb fb fb fb

297 individu terima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2022

(Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan berangkat pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan/BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 4 Julai- Seramai 297 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2022 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut berangkat ke istiadat berkenaan, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Datuk Izham Ismail dan pelakon veteran Datuk Fauziah Nawi mendahului senarai penerima dengan dikurniakan Darjah Panglima Jasa Negara yang membawa gelaran Datuk.


(Yang di-Pertuan Agong berkenan mengurniakan Darjah PJN kepada Datuk Izham Ismail dan Datuk Fauziah Nawi di Istana Negara/BERNAMA)

Sementara itu, Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertuan Agong, Datuk Nazim Mohd Alim dikurniakan Darjah Panglima Setia Diraja yang turut membawa gelaran sama.

Seramai 14 individu yang menerima Darjah Johan Mangku Negara, sementara 17 lagi dikurniakan Darjah Johan Setia Mahkota.

Bagi Bintang Kesatria Mangku Negara, diberikan kepada 58 penerima, manakala Bintang Kesatria Setia Diraja,15 penerima dan Bintang Mangku Negara seramai 75 individu.

Dalam majlis sama, Yang di-Pertuan Agong turut berkenan menganugerahkan Pingat Pangkuan Negara kepada 72 individu, sementara 43 individu lagi menerima Pingat Bentara Setia Diraja.

Turut hadir dalam istiadat berkenaan, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Media Baharu