SHAH ALAM, 12 November - Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) MBI menyerahkan komputer riba dan kad SIM kepada 28 pelajar dalam majlis penyerahan sumbangan yang berlangsung di sini.
Yayasan MBI turut menyampaikan sumbangan tunai RM10,000 kepada atlet boling padang negara, Nor Farah Ain Abdullah, sebagai tanda penghargaan atas kejayaannya dinobatkan sebagai pemain nombor satu dunia.
Sementara itu Sekolah Kebangsaan Taman Pelangi Semenyih menerima RM8,000 untuk menyertai pertandingan antarabangsa, iaitu Prague Stars dan Budapest Ethno Fest.
Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor memaklumkan, pihaknya akan meneruskan inisiatif ini untuk membantu rakyat Selangor yang memerlukan.
"Inisiatif ini kita akan sambung pada tahun hadapan dengan program-program yang sama. Saya juga difahamkan bersempena belanjawan negeri yang akan diumumkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari pada Jumaat ini, akan ada beberapa program baharu yang turut melibatkan Yayasan MBI. Sekali gus akan memberi manfaat kepada rakyat negeri Selangor," katanya selepas menyerahkan sumbangan berkenaan.
Sementara itu, atlet boling padang negara Nor Farah Ain Abdullah menyifatkan sumbangan tersebut amat bermakna dalam membantu persiapan beliau menghadapi Piala Dunia 2025 dan Sukan Komanwel 2026.
"Alhamdulillah, terima kasih kepada Yayasan MBI kerana memberi sumbangan kepada saya, dan ia amat membantu saya khususnya dari segi persediaan peralatan sukan," katanya ketika ditemui media.
Selain itu, dua pesakit kronik kurang berkemampuan, Syah Abdul Halim Ali dan Mustafa Sidek, turut menerima RM1,990 yang disampaikan kepada wakil Yayasan Penyayang bagi membantu keperluan rawatan mereka.