KUALA LUMPUR, 12 November - Mesyuarat Majlis Tenaga Negara (MTN) Bilangan 2 Tahun 2025 yang dibentangkan Kementerian Ekonomi hari ini membincangkan dan bersetuju dengan strategi mampan yang digariskan di bawah Pelan Hala Tuju Gas Asli (NGR).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan mesyuarat itu berkata ia bertujuan memastikan keterjaminan tenaga negara terus terpelihara dalam menyokong pertumbuhan sosioekonomi serta peralihan ke arah ekonomi rendah karbon.
“Fokus utama kini adalah meningkatkan perkongsian tenaga boleh baharu kepada 35 peratus menjelang 2030, memperluas akses grid terbuka, serta mempergiat pelaburan dalam teknologi hijau dan tenaga baharu, sejajar Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Ia untuk memperkukuh sistem tenaga negara yang lebih inovatif, berdaya saing dan inklusif, demi menjamin kesejahteraan rakyat serta kelestarian masa depan Malaysia,” jelas Datuk Seri Anwar menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau.
Beliau yang juga Menteri Kewangan memaklumkan bahawa mesyuarat tersebut turut bersetuju dengan unjuran permintaan dan pembekalan elektrik bagi pusat data berdasarkan penilaian terkini oleh Suruhanjaya Tenaga.
“Pada masa sama, mesyuarat MTN meluluskan pembangunan Platform Perkhidmatan e-Mobiliti yang akan menyepadukan dan menyelaras operasi stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) di seluruh negara,” katanya lagi.
Kerajaan MADANI kekal fokus dalam menterjemah aspirasi peralihan tenaga negara untuk menjadikan Malaysia peneraju ekonomi rendah karbon yang mampan dan berdaya tahan.