TUMPAT, 20 Januari- Sebanyak 264 menara telekomunikasi yang terjejas akibat banjir di Kelantan sudah dibaik pulih sepenuhnya.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, 41 pusat sebaran maklumat Nasional (NADI) di Kelantan yang terjejas akibat banjir juga sudah beroperasi seperti sedia kala.
Katanya, selain menambah baik menara pihaknya meminta pihak Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meneliti penyelesaian yang mampan menggunakan teknologi yang berbeza sekiranya satu kawasan mengalami masalah elektrik.
Ia termasuk penyelesaian tambahan seperti teknologi yang baru yang dijadikan projek rintis di beberapa kawasan dan secara keseluruhan akan diteliti dalam bengkel untuk segera dilaksanakan.
"Pada masa sama saya telah minta pihak MCMC mengadakan bengkel bersama semua syarikat prnyedia perkhidmatan rangkaian syarikat yang mengusahakan menara sekali dengan syarikat-syarikat telco, mengenal pasti kawasan ini tidak pernah dilanda banjir tapi bila banjir berlaku tengelam dan dua minggu tidak ada internet saya minta kita buat bengkel dan simulasi lebih mendalam," katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau menara telekomunikasi di Jubakar Pantai di Tumpat hari ini.
Fahmi berkata, Menara Jubakar Pantai adalah salah satu menara telekomunikasi yang terjejas ketika banjir besar melanda kelantan baru baru ini.