fb fb fb fb fb

TBC 2025: Kempen Keselamatan Jalan Raya di Perak, fokus penunggang motosikal

Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan

IPOH, 20 Januari - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak akan melaksanakan Program Kempen Keselamatan Jalan Raya menjelang Sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) 2025, minggu hadapan.

Program anjuran Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Perak itu akan menumpukan kepada keselamatan pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal.

Pengarah JPJ Perak Mohammad Yusoff Abustan berkata, kempen difokuskan kepada penunggang motosikal berdasarkan statistik tinggi kemalangan melibatkan kumpulan itu.

"Seperti yang kita tahu kebanyakan kemalangan penyumbang utamanya adalah penunggang motosikal dan kalau mengikut peratusan kebanyakan setiap tahun 60 hingga ke 70 peratus kemalangan jalan raya adalah disebabkan penunggang motosikal dan pembonceng motosikal," kata Yusoff.

Beliau ditemui selepas menjadi tetamu rancangan Perakfm Prihatin di konti Perakfm, di sini.

Kempen kesedaran peringkat negeri melibatkan penyertaan pelbagai agensi kerajaan antaranya, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Majlis pelancaran akan diadakan pada Khamis ini di salah satu pasar raya di Ipoh dan akan disempurnakan oleh Exco negeri Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin.

TETITIA YUSOFF