PUTRAJAYA, 27 Mei- Para Du’at Al Falah atau golongan pendakwah perlu bersedia dengan ilmu bagi mendepani pelbagai isu yang tular dalam masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Na'im Mokhtar berkata, para Du’at Al Falah yang terdiri daripada golongan ilmuan, golongan profesional dan para agamawan perlu sentiasa mempunyai strategi kerana dugaan dalam mendidik masyarakat kini semakin mencabar.
"Maklumat berkaitan tentang ajaran-ajaran sesat, baru-baru ini pasal pasentran apa yang daripada Indonesia itu, kalau Du’at tidak ada maklumat yang sebenar berkaitan dengan ajaran-ajaran sesat, maka sukar untuk dia sampaikan kepada masyarakat.
"Dia dapat maklumat daripada agensi, dia dapat maklumat daripada JAKIM kemudian sampaikan, dapat maklumat daripada fatwa berkaitan tentang kedudukan ajaran tersebut dan mereka ini akan berada dilapangan dan dia akan menjelaskan kepada masyarakat,"katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan seminar pembimbing Malaysia Madani dan juga pelancaran Du’at Al Falah di Putrajaya.
Menurut Datuk Dr Na'im, Du’at Al Falah ini juga berperanan untuk mendidik kefahaman masyarakat tentang teras pembinaan Malaysia Madani antaranya kemampanan, kesejahteraan dan juga ihsan.
Seramai 250 orang pendakwah telah terpilih sebagai Du’at Al Falah yang bertindak sebagai pembentuk Du’at selaras dengan nilai wasatiah, hikmah, rahmah, matang dan cerdas.
(Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Na'im Mokhtar)