IPOH, 2 November- Seramai 238 individu bakal menerima pengurniaan darjah kebesaran dan pingat sempena Hari Keputeraan ke-67 Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzudin Shah.
Antara yang mendahului senarai, Mufti Negeri Perak Sahibus Samahah Datuk Wan Zahidi Wan Teh dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Dato’ Dr Zulkapli Mohamed.
Kedua-duanya dikurniakan Darjah Dato' Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP), membawa gelaran Datuk Seri.
Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab Rahman dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dikurniakan Darjah Dato' Seri Panglima Taming Sari (SPTS).
Menurut Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin pada sambutan kali ini, Sultan Nazrin turut berkenan mengurniakan pingat kepada ahli-ahli sukan dari Perak yang berjaya memenangi pingat di Sukan Asia 2022, Hangzhou.
"Di atas ihsan dan rasa bertanggungjawab berkenan untuk memberi makanan tengah hari kepada semua banduan di keempat-empat penjara di Negeri Perak.
"Yang keduanya adalah mengiktirafkan atlet-atlet dan juga olahraga kebangsaan yang telah berjaya di dalam Sukan Asia yang baru lepas", katanya.
Ditemui ketika sidang media, beliau berkata istiadat penganugerahan akan diadakan sebanyak dua sesi, iaitu sesi pertama melibatkan penganugerahan darjah kebesaran yang membawa gelaran akan berlangsung pada 5 November.
Manakala, sesi kedua pada 18 November di Balairong Seri, Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.