223 asnaf Perlis perkasa kemahiran TVET

Peserta Program Pemerkasaan Asnaf melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) / Foto RTM

KANGAR, 12 Ogos – Seramai 223 pelajar dalam kalangan asnaf di Perlis menyertai Program Pemerkasaan Asnaf melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang teknologi pembuatan sejak 2019 hingga kini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program dilaksanakan oleh Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) dengan kerjasama Kulim Hi-Tech Park, menyediakan latihan TVET dalam teknologi pembuatan.
  • MAIPs menyalurkan peruntukan RM2.91 juta dan setiap peserta ditaja RM13,064 untuk pengajian dan latihan tiga bulan.
  • Program membuka peluang penempatan kerja di 144 syarikat dan diharap memperkukuh sosioekonomi serta melahirkan asnaf contoh.

Program yang dilaksanakan Akademi Transformasi Asnaf MAIPs Sdn Bhd (ATAM) di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Kulim Hi-Tech Park itu, menerima peruntukan berjumlah RM2.91 juta daripada MAIPs.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata, setiap pelajar terpilih menerima tajaan RM13,064 seorang sepanjang pengajian dan latihan selama tiga bulan di Kulim Advanced Technologies Sdn Bhd.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan bukan sahaja menyediakan latihan kemahiran dalam bidang TVET, malah membuka peluang kepada golongan asnaf untuk meningkatkan taraf ekonomi diri dan keluarga.

Katanya, peserta berpeluang mendapat penempatan pekerjaan di 144 syarikat yang bekerjasama dengan Kulim Hi-Tech Park Skills Centre.

Beliau berkata demikian pada taklimat dan pelepasan 43 pelatih baharu dalam kalangan asnaf ke Kulim Hi-Tech Park, di perkarangan Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, di sini.

Menurutnya, pelaksanaan program menerusi ATAM mencerminkan komitmen berterusan MAIPs dalam memperkukuh sosioekonomi golongan asnaf.

Malah, katanya, usaha itu diharap dapat melahirkan golongan asnaf yang mampu menjadi contoh dan teladan kepada keluarga serta menyumbang kembali kepada pembangunan komuniti asnaf, khususnya di Perlis.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.