
GEORGE TOWN, 12 Ogos – Kira-kira RM1.2 juta nilai projek kerjasama inovasi berjaya dijana bawah Program Sinergi USM-SME, hasil inisiatif Universiti Sains Malaysia (USM).
- USM tunjuk komitmen memupuk jaringan universiti-industri melalui Program Sinergi USM-SME dan SME Innovation Day 2026.
- Memperkenalkan Enterprise Innovation Platform berkuasa AI untuk memadankan kepakaran penyelidik dengan cabaran perniagaan SME secara automatik dan berasaskan data.
- Sesi pemadanan membolehkan SME bentang cabaran perniagaan sementara pakar USM tentukan kepakaran dan skop penyelesaian bersesuaian.
- Kerjasama fokus pada lapan bidang strategik: digitalisasi, AI, analitik, inovasi produk, automasi, kejuruteraan, latihan, pembangunan kapasiti perniagaan serta R&D dan pengkomersialan.
Menurut Naib Canselor USM, Professor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, pelaksanaan program tersebut mencerminkan komitmen jitu universiti dalam memupuk jaringan universiti-industri yang lebih tersusun, responsif, dan berorientasikan hasil.
Beliau menyatakan perkara tersebut pada penganjuran SME Innovation Day 2026 berlangsung di Auditorium Murad, SAINS@USM, Bukit Jambul; menghimpunkan lebih 150 wakil industri dan pakar akademik daripada pelbagai bidang untuk berinteraksi secara langsung serta meneroka kolaborasi berimpak tinggi.
Selain pengumuman kejayaan penjanaan projek kerjasama bernilai RM1.2 juta itu, turut dilancrkan AI-powered Enterprise Innovation Platform (EIP) yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI).
“Penganjuran SME Innovation Day 2026 dan pencapaian RM1.2 juta nilai projek kerjasama membuktikan keyakinan tinggi sektor industri terhadap kemampuan USM dalam menyediakan penyelesaian praktikal berasaskan penyelidikan.
”Melalui pengenalan Enterprise Innovation Platform (EIP) berkuasa AI pula, kami mendigitalkan pengurusan jaringan industri untuk membolehkan pemadanan kepakaran berlaku dengan lebih pantas, sistematik, dan berasaskan data demi melonjakkan daya saing SME tempatan ke peringkat antarabangsa,” ujar Professor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman.
Mengulas lanjut Prograpm SME Innovation Day 2026 bertindak sebagai platform tindakan konkrit yang menghubungkan cabaran harian industri secara langsung dengan penyelesaian akademik.
Sepanjang sesi pemadanan dan penentuan skop, wakil-wakil SME diberikan ruang membentangkan cabaran perniagaan serta keperluan teknologi mereka, manakala pakar USM mengenal pasti kepakaran dan bentuk penyelesaian yang bersesuaian.
Tumpuan kerjasama merangkumi lapan bidang strategik utama yang menyasarkan digitalisasi, kecerdasan buatan, dan analitik data; inovasi produk dan penambahbaikan proses; automasi, produktiviti, dan penyelesaian kejuruteraan; serta latihan, pembangunan kepimpinan, dan kapasiti perniagaan.
Skop kerjasama ini turut diperluaskan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D); pengujian, pengesahan, dan pensijilan; harta intelek dan pengkomersialan; serta pembangunan bakat, latihan industri, dan projek pelajar.
Berhubung pelancaran EIP, ia antara usaha USM merapatkan jurang antara keperluan industri dengan ekosistem universiti.
Platform ini memanfaatkan teknologi AI untuk memadankan profil perusahaan dan cabaran perniagaan SME dengan kepakaran penyelidik serta kemudahan teknikal USM secara automatik dan tepat.
Dalam jangka pendek, EIP mempercepat carian pakar, membantu merangka skop awal projek, merekodkan perkembangan kerjasama, serta mengenal pasti potensi perundingan dan pengkomersialan.
Manakala dalam jangka panjang, platform ini dijangka membina pangkalan data keperluan industri untuk perancangan strategik universiti-industri, serta berpotensi menjadi ekosistem inovasi digital bersepadu yang menghubungkan SME, penyelidik, pelajar, agensi pembiayaan, dan rakan teknologi.