fb fb fb fb fb

216 individu ditahan, dadah bernilai lebih RM54,000 dirampas

KOTA BHARU, 30 September- Seramai 216 individu ditahan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJN) Kelantan sepanjang tiga hari Ops Tapis Khas Semalaysia dilaksanakan sejak Isnin lalu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dalam operasi yang berakhir kelmarin, pihaknya yang turut dibantu JSJN Bukit Aman turut berjaya merampas pelbagai jenis dadah dengan nilai keseluruhan RM54,876.


(Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun)

"Akan datang kita akan lebih tumpukan kepada pengkalan haram dan juga jeti, berdasarkan tangkapan yang dibuat, kita percaya, walaupun kali ini tidak ada tangkapan yang melibatkan pengedaran, tetapi dengan ada nya kes-kes penagihan sudah tentu ada penawaran disana. Jadi ini akan beri tumpuan dan kita akan buat satu operasi khas, dan kita percaya denganbantuan daripada agensi-agensi yang berkaitan, AADK, Kastam dan semuanya kita akan berjaya," katanya dalam sidang media mengenai kejayaan Ops Tapis Khas di Kota Bharu, di sini.

Daripada kes terbabit, polis berjaya menyita pelbagai jenis kenderaan dan wang tunai di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 berjumlah RM32,205.

Operasi tersebut melibatkan 18 pegawai dan 134 anggota (polis dan Pasukan Gerakan Am) PGA serta beberapa agensi lain termasuk Kastam, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Pemeriksaan dan serbuan turut dilakukan di Pengkalan Haram membabitkan 27 lokasi dan stor haram di empat daerah sempadan iaitu Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah dan Jeli.

Hasil serbuan pihaknya berjaya membuat lapan tangkapan berkait kesalahan dadah dan tiga tangkapan berkait lain-lain kesalahan.

Jelas beliau, turut dirampas dalam operasi diadakan ialah 940 biji pil yaba di sebuah rumah beralamat di Kampung Padang Tokku Wakaf Bharu Tumpat.

Dalam serbuan itu pihak polis turut menemukan 5kg daun ketum serta 3 liter air ketum dengan nilai keseluruhan rampasan RM9,480.

Media Baharu