fb fb fb fb fb

200 ditahan di 'port' panas lumba haram - Polis

(Antara penunggang dan pembonceng motosikal yang ditahan)

GEORGE TOWN, 8 Oktober- Seramai 200 penunggang dan pembonceng motosikal tidak sempat melarikan diri apabila lokasi panas untuk menyaksikan lumba haram dikepung oleh sepasukan anggota polis di Pulau Pinang, awal pagi tadi.
 
Mereka ditahan di kawasan E-Gate, Lebuh Tunku Kudin Gelugor menerusi operasi bersepadu Ops samseng Jalanan yang dijalankan selama tempoh tiga jam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, operasi berkenaan bermula dengan risikan awal oleh pihaknya pada pukul 1.00 pagi, sebelum berakhir pada pukul 4.00 pagi.

Hasil pemeriksaan lanjut, sebanyak 100 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik, antaranya tiada cermin sisi, ekzos bising serta nombor plat dan tayar tidak mengikut spesifikasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Kesalahan lain yang turut dikesan seperti tidak memiliki lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh serta kenderaan tidak mempunyai insurans.

Sebanyak 20 motorsikal turut disita akibat modifikasi keterlaluan.

Kesemua 180 lelaki dan 20 wanita yang ditahan itu kemudian diarah menunggang motosikal sejauh empat kilometer ke Ibu Pejabat Polis Derah (IPD) Timur Laut sambil diiringi kereta peronda polis.

(Penunggang dan pembonceng motosikal tidak sempat melarikan diri kerana
dikepung polis)

Media Baharu