SUNGAI PETANI, 25 Januari- Perayaan Thaipusam di Kedah berlangsung dalam suasana yang aman dan harmoni.
Kira-kira 200,000 pengunjung khususnya penganut agama Hindu dijangka datang ke Daerah Kuala Muda bagi meraikan perayaan tersebut bermula hari ini hingga 27 Januari ini.
Sepanjang penugasan Op Palu bagi perayaan Thaipusam tahun 2024, Polis Kedah sentiasa bersiap sedia dan akan memastikan keselamatan pengunjung dan aliran trafik sentiasa dalam keadaan lancar.
Pagi tadi, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh turun padang memantau sendiri penugasan yang dijalankan oleh pegawai dan anggota di lapangan.
Turut serta, Ketua Cawangan Khas Polis Kedah, SAC Misnon Abu; Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Polis Kedah, SAC Kamaruzaman Elias dan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Zaidy Che Hassan.
Sempena pemantauan tersebut, Datuk Fisol turut menyampaikan sumbangan makanan "annathaanam" kepada pengunjung yang hadir ke reruai Polis Daerah Kuala Muda.