fb fb fb fb fb

2,626 penduduk terjejas banjir di tiga negeri setakat tengah hari

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Januari- Seramai 2,626 penduduk terjejas banjir berlindung di 31 pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu, Kelantan dan Pahang setakat pukul 12 tengah hari tadi.

Berdasarkan laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), penduduk terjejas di Terengganu terus meningkat kepada 2,105 berbanding 1,541 orang, pagi tadi.

Menurut NADMA, 10 PPS beroperasi di daerah Setiu menempatkan 1,048 orang, Besut (lapan PPS, 480 orang), Hulu Terengganu (lima PPS, 294 orang) dan Dungun (empat PPS, 283 orang).

Bagaimanapun dua PPS di daerah Kemaman yang menempatkan 24 orang telah ditutup.

NADMA dalam laporannya memaklumkan jumlah penduduk terjejas banjir di Pasir Puteh, Kelantan menurun sedikit kepada 350 orang yang berada di dua PPS manakala 171 orang berlindung di dua PPS di Kuantan, Pahang.

Sementara itu, tinjauan situasi di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai masih berada pada paras bahaya iaitu Sungai Dungun, Sungai Terengganu (Hulu Terengganu dan Setiu) di Terengganu; Sungai Muda di Sik dan Sungai Kedah di Kota Setar (Kedah); Sungai Arau (Perlis); Sungai Rompin dan Sungai Pahang Cameron Highlands (Pahang); Sungai Sarang Buaya (Johor) serta Sungai Kinabatangan (Sabah).

NADMA turut memaklumkan 19 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak, jalan dan cerun runtuh, antaranya di Lebuhraya Kuantan-Segamat (Lebuhraya Tun Razak) di Pekan, Pahang; Jalan Durian Mentangau di Dungun, Terengganu dan Jalan Sungai Sok-Chucuh Puteri di Kuala Krai, Kelantan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE