SEPANG, 4 Julai- Seramai 20 orang mengalami gejala pening kepala susulan kebocoran bahan kimia di Southern Support Zone Sepang Aircraft Engineering, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi tadi.
Pengarah Bomba Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, 20 orang itu terdiri daripada kakitangan Sepang Aircraf, MAS Engineering Hangar dan CAE.
"Seramai 13 mangsa dibawa ke Medical Center, enam mangsa pula dihantar ke Air Disaster Unit dan seorang mangsa telah dibawa ke Hospital Putrajaya," katanya dalam kenyataan pada hari ini.
Wan Md Razali berkata, Pusat Gerakan Operasi Negeri telah menerima panggilan kecemasan menerusi MERS 999 berkaitan kebocoran bahan kimia itu kira-kira pukul 11.23 pagi.
"Seramai 23 anggota dan pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA serta pasukan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) BBP Shah Alam dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan hadir ke operasi itu," katanya.
Turut berada di lokasi kejadian adalah agensi lain antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Air Side Safety.
Punca kebocoran masih lagi dalam siasatan.