fb fb fb fb fb

2 maut dalam nahas 4 kenderaan di Kuching

FOTO IPD KUCHING

KUCHING, 10 April- Dua lelaki maut dalam satu kemalangan jalan raya yang melibatkan empat buah kenderaan di Jalan Tun Jugah, Kuching, tengah malam tadi.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Penguasa Polis (SUPT) Merbin Lisa, kedua-dua mangsa yang berusia 37 dan 40 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 12.40 tengah malam apabila sebuah kereta yang dipandu oleh salah seorang mangsa dari arah pusat bandar menuju ke Jalan Lapangan Terbang hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan.

"Kereta tersebut kemudian melanggar sebuah lagi kereta yang dipandu oleh seorang lelaki bersama penumpang remaja perempuan.

"Tidak lama selepas itu, sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki dari arah persimpangan bertingkat Kenyalang melanggar kereta yang terbabas di tengah jalan serta pemandu dan penumpang kereta kedua yang sedang memberikan bantuan.

"Kereta tersebut kemudiannya terbabas ke arah kiri jalan dan melanggar sebuah kenderaan lain yang sedang berhenti di bahu jalan untuk membantu mangsa kemalangan.

"Akibat daripada kemalangan itu, kedua-dua mangsa yang maut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala remaja perempuan tersebut mengalami kecederaan parah. Pemandu bagi dua buah kenderaan lain pula dilaporkan mengalami kecederaan ringan," kata Merbin Lisa,

Kes kini disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE