PUTRAJAYA, 10 April- Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mewartakan Perintah Larangan terhadap dua tajuk penerbitan yang dipercayai boleh memudaratkan ketenteraman awam serta kepentingan negara, berkuat kuasa mulai 10 Mac lalu, selaras dengan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).
Menurut kenyataan rasmi KDN, dua penerbitan yang terlibat adalah "The Goal of The Wise: The Gospel of The Riser of The Family of Mohammed" oleh Abdullah Hashem dan "Suka Duka Perjalanan Dhul-Qarnain / Cyrus The Great dan Iskandar Agung".
KDN menjelaskan larangan tersebut dilaksanakan mengikut peruntukan Subseksyen 7(1), Akta 301, yang memperuntukkan pengharaman secara mutlak terhadap sebarang aktiviti mencetak, mengimport, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengedarkan atau memiliki penerbitan yang boleh menjejaskan ketenteraman dan kepentingan awam.
“Langkah ini merupakan sebahagian daripada pendekatan kawalan dan pencegahan awal bagi mengelakkan sebarang ancaman atau kemudaratan sebelum ia berlaku.
"KDN turut menekankan bahawa larangan ini bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kewujudan bahan bacaan yang tidak sesuai dan berpotensi menimbulkan keresahan awam," jelas kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu lagi, di bawah Subseksyen 8(2) Akta 301, mana-mana individu yang melanggar perintah larangan ini boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun, atau denda maksimum RM20,000, atau kedua-duanya sekali.
“Kementerian kekal komited dalam memperkukuh kawal selia dan penguatkuasaan terhadap mesin cetak dan penerbitan bagi mengekang penyebaran elemen, fahaman dan gerakan yang boleh mengganggu-gugat keselamatan negara serta keharmonian masyarakat,” menurut kenyataan tersebut.
Maklumat lanjut berkenaan senarai penerbitan yang dikenakan Perintah Larangan boleh dirujuk melalui laman web rasmi KDN atau portal Perundangan Persekutuan.