fb fb fb fb fb

2,517 penduduk terjejas banjir, tiga sungai catat paras bahaya

(Siaran media NADMA)

KUALA LUMPUR, 15 Disember- Jumlah penduduk terjejas banjir di lima negeri iaitu Kelantan, Johor, Pahang, Terengganu dan Perak kekal seramai 2,517 orang di 20 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat pukul 7.00 pagi tadi.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan memaklumkan, jumlah berkenaan kekal sejak pukul 4.00 pagi tadi dengan pecahan penduduk terjejas seramai 2,019 orang di Kelantan, Johor (182), Pahang (151), Terengganu (61) dan Perak mencatatkan 104 orang.

Kelantan merekodkan penduduk terjejas di daerah Pasir Mas iaitu di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh yang menempatkan 712 orang, PPS SK Gual Periok (544), PPS SK Kubang Gual (256), PPS SK Sri Kiambang (234), PPS Putat Tujoh (157), PPS Masjid Mukim Padang Licin (69) dan PPS SK Kedai Tanjung menempatkan 47 orang.

Sementara itu, menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), stesen Rantau Panjang di Pasir Mas merekodkan paras air tahap bahaya, manakala stesen Kampung Jambu di Tumpat (Kuala Jambu) mencatatkan paras amaran, setakat pukul 8.00 pagi tadi.

Johor pula mencatatkan 34 orang di PPS Balairaya Kampung Batu Badak, PPS Balairaya Kampung Kuala Paya (27) dan PPS Dewan Komuniti Kampung Tasek (11) bagi daerah Segamat, manakala PPS Dewan Muafakat Bandar Penawar (62) dan PPS Dewan Kampung Baru Sungai Mas (26) di Kota Tinggi serta PPS Sekolah Agama Pengkalan Batu menempatkan 34 orang bagi daerah Mersing.

"Tiga stesen mencatatkan paras air tahap amaran iaitu Sungai Muar di Buloh Kasap dan Kampung Awat di Segamat serta Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur," menurut kenyataan JPS.

NADMA memaklumkan, dua PPS dibuka di Pahang iaitu PPS SK Sinar Mutiara di Pekan yang menempakan 142 orang dan PPS SK Kerayong di Bera menempatkan sembilan orang.

"Stesen Sungai Keratong, Rompin (Jalan Kota) merekodkan paras air bahaya, manakala Sungai Belat, Kuantan (Sri Damai), Sungai Luit, Maran (Kampung Subuh) dan Sungai Pahang, Pekan (Paloh Inai) merekodkan paras air tahap amaran," jelas JPS.

Sementara itu, Terengganu merekodkan 35 orang di PPS Balai Raya Kampung Kemat dan 26 lagi di PPS Balai Raya Kampung Tapah membabitkan penduduk di Hulu Terengganu.

JPS pula memaklumkan stesen Sungai Berang di Hulu Terengganu (Kampung Menerong) mencatatkan paras air tahap bahaya, manakala Sungai Tumpat di Kemaman (Kampung Baru Kemasik) pada tahap amaran.

Dalam pada itu, jumlah penduduk terjejas banjir di Perak juga kekal di PPS Sekolah Menengan Kebangsaan Abdul Rahman Talib di Hilir Perak menempatkan 70 orang, PPS SAR Padang Sera, Manjung (28) dan PPS Dewan Orang Ramai Kampung Tersusun Teluk Memali, Perak Tengah merekodkan dua orang.

JPS juga memaklumkan stesen Long Teru di Miri, Sarawak dan Sungai Muar di Jempol (Pekan Rompin) mencatatkan paras air tahap amaran.

(Foto APM Hilir Perak)

Media Baharu