fb fb fb fb fb

2,468 pegawai, anggota polis bertugas di 32 pusat penamaan calon

KUALA TERENGGANU, 28 Julai- Polis Terengganu menggerakkan 2,468 pegawai dan anggotanya bagi memastikan kelancaran proses di 32 pusat penamaan calon, esok.

Perkara itu dinyatakan Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan selepas membuat tinjauan di Pusat Penamaan Calon Parlimen Kuala Terengganu, di sini hari ini.

"Kesemua pusat penamaan calon sudah bersedia untuk esok, anggota PDRM sahaja kita ada lebih kurang 2,468 kekuatan yang akan mengawal dan menjaga keselamatan dan melancarkan lalu lintas di setiap pusat," katanya.

(Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan)

Calon serta penyokong juga dinasihati mematuhi peraturan pilihan raya ditetapkan.

Ini agar perjalanan proses demokrasi di negeri itu yang bermula esok hingga 12 Ogos berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang boleh merugikan mana-mana pihak.

Ops Cantas bagi kelancaran aktiviti kempen

Mazli turut mengumumkan pelancaran Ops Cantas bagi memastikan aktiviti kempen di negeri itu berjalan lancar.

26 kumpulan terdiri daripada anggota dan pegawai polis Kontinjen Bukit Aman dan Johor ditugaskan memantau aktiviti berkempen sepanjang PRU DUN ke-15 Terengganu dan Pilihan Raya Kecil Parlimen Terengganu.

"Kita juga telah melancarkan Ops Cantas di mana kita mendapatkan bantuan dari Bukit Aman dan juga kontinjen Johor.

"26 pasukan Ops Cantas terdiri daripada satu pegawai dan anggota membuat risikan dan memantau perjalanan pilihan raya.

"Mereka akan megambil tindakan terhadap mana-mana pihak melanggar peraturan di bawah pilihan raya," menurutnya.

Media Baharu