MERSING, 28 Julai- Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2023 meneruskan perjalanan konvoi dengan menjelajah ke negeri Johor.
Konvoi selama tiga hari, yang bermula hari ini hingga 30 Julai, melibatkan perjalanan sejauh 520 kilometer.
Johor merupakan destinasi selepas Pahang, dengan merentasi tujuh daerah bermula di Mersing, Kota Tinggi, Johor Bahru, Kulai, Kluang, Batu Pahat dan berakhir di Muar.
Pengarah Jabatan Penerangan Negeri (JAPEN) Johor, Naim Fahmi Ahmad Tajuddin berkata sepanjang konvoi, pelbagai aktiviti menarik diatur bersama komuniti setempat.
Ia dalam usaha menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan dan meningkatkan semangat patriotik dalam diri setiap individu.
"Pelbagai acara ditentukan di peringkat 'pit stop' termasuk pertandingan mewarna kanak-kanak, kita adakan nyanyian lagu patriotik.
"Kemudian ada pertandingan sayembara puisi, sajak yang kesemua kita laksanakan itu bertujuan memupuk semangat patriotik dan merdeka dalam kalangan rakyat tanpa mengira latar belakang kaum, agama, bangsa dan budaya," katanya kepada pemberita, di sini.
(Pengarah Jabatan Penerangan Negeri (JAPEN) Johor, Naim Fahmi Ahmad Tajuddin)
Sebanyak 40 buah kenderaan, melibatkan 73 anggota daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta terlibat dalam konvoi itu.
Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2023 kemudian akan diteruskan oleh JAPEN Melaka pada 30 Julai di Sungai Rambai, Melaka.