fb fb fb fb fb

Dua juta penduduk telah menerima manfaat Jualan Rahmah

KOTA BHARU, 28 Julai- Sejak dilancarkan Jun lalu, dua juta penduduk di negara ini telah menerima manfaat daripada Jualan Rahmah, membabitkan nilai jualan berjumlah RM50 juta.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata angka itu dapat dicapai hasil kerjasama erat daripada rakan strategik di seluruh negara.

Setakat ini pihaknya telah memperkenalkan tiga konsep Jualan Rahmah antaranya penjualan dalam premis, luar premis dan secara bergerak.

Bagi Jualan Rahmah bergerak, kini sudah ada 331 lori pelbagai kapasiti yang akan masuk ke setiap kampung.

Angka itu dijangka bertambah sehingga akhir tahun ini susulan peningkatan Jualan Rahman sebanyak dua kali sebulan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Kita sudah pun menyantuni dalam dua juta pengunjung yang telah mendapat manfaat daripada Jualan Rahmah, nilai ialah RM50 juta, alhamdulillah.

"Rakyat Malaysia telah mendapat manfaat daripada Jualan Rahmah dalam tiga konsep itu dengan diskaun hingga 30 peratus," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

(Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh)

Dalam pada itu, Fuziah memberitahu Program Jualan Rahmah di Kelantan mencatat jualan hampir RM3.48 juta, melibatkan lebih 56,000 penduduk.

Penganjuran dilihat memberi kesan positif kepada rakyat, dengan membolehkan mereka menikmati subsidi kerajaan dan meringankan kos sara hidup.

Media Baharu