KUALA LUMPUR, 28 Julai- Pakej Rahmah Jalur Lebar Tetap Allo bakal memanfaatkan golongan sasar seperti B40, veteran, Orang Kurang Upaya (OKU) serta warga emas pada harga mampu milik.
Mereka boleh menikmati pakej berkelajuan 100 Mbps dengan data tanpa had pada harga RM69 untuk kontrak langganan 24 bulan.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata inisiatif itu merupakan usaha rintis kerajaan membantu merapatkan jurang digital dalam kalangan masyarakat.
"Saya berhasrat untuk berbincang dengan pihak Allo dan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) sekali dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk meneliti bagaimana mungkin pihak Allo boleh membantu.
"Menjadi salah satu daripada cara kita menyelesaikan masalah kesalinghubungan, bagi tiga peratus kawasan berpenduduk yang terakhir, yang pada waktu ini tidak ada 'connectivity', tidak ada liputan, tidak ada internet," katanya.
(Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil)
Beliau ditemui media pada Majlis Pelancaran Pakej Rahmah Jalur Lebar Tetap (Home Internet) Allo, di sini hari ini.
Jelasnya, penjenamaan semula Pakej Perpaduan kepada Pakej Rahmah dibuat bagi memperingati inisiatif yang dilaksanakan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub semasa menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.