fb fb fb fb fb

Rangkuman persiapan akhir SPR menjelang proses penamaan calon

KUALA LUMPUR, 28 Julai- Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan persiapan akhir menjelang hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 (PRU DUN ke-15) esok.

Di Selangor, persiapan pusat penamaan calon berjalan lancar.

Hasil pemantauan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di tiga pusat penamaan calon di Sabak Bernam dan Sungai Besar, petugas pilihan raya sedang membuat pemeriksaan akhir bagi melancarkan perjalanan proses penamaan calon esok.

Tahap kesiapsiagan pusat penamaan calon bagi kawasan N03 Sungai Panjang, N02 Sabak dan N04 Sekinchan dilihat berada dalam keadaan baik.

Semua kelengkapan peralatan yang diperlukan sudah ditempatkan di dalam dewan berkenaan.

Sementara itu, di Negeri Sembilan, persiapan menjelang proses penamaan calon bagi N31 Bagan Penang berjalan dengan lancar.

Persiapan berkaitan gerak kerja, kemudahan dan soal keselamatan telah dilaksanakan sejurus SPR mengumumkan tarikh-tarikh penting.

Kelancaran menjelang proses penamaan calon esok juga mendapat kerjasama daripada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson.

Di Kelantan pula, SPR berpuas hati dengan kelancaran persediaan bagi proses penamaan calon bagi PRU DUN ke-15 di Gua Musang.

Menurut Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN N43 Nenggiri, Zulkarnain Ismail, segala persiapan telah dilakukan di tahap maksimum dan berjalan lancar.

"Pusat penamaan calon bagi Parlimen Gua Musang meliputi tiga kawasan DUN terdiri N43 Nenggiri, N44 Galas dan DUN N45 Paloh.

"Untuk proses penamaan, hanya calon, pencadang dan penyokong sahaja dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon esok," katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan akhir di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang, di sini.

Dalam pada itu, di Kulim, Kedah  tinjauan RTM mendapati kerja-kerja memasang dan menyiapkan pentas utama serta susun atur dewan sedang giat dijalankan SPR dan pihak kontraktor di Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech Park (KHTP) menjelang hari penamaan calon.

Tinjauan pada petang tadi turut mendapati sebuah khemah utama telah didirikan di hadapan kompleks tersebut bagi tujuan pengumuman rasmi proses penamaan calon esok.


(Di Selangor, persiapan pusat penamaan calon berjalan lancar.)

Media Baharu