KOTA BHARU, 26 Oktober- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan merekodkan 2,400 calon Program MyLesen B2 berjaya mendapatkan lesen memandu yang diperuntukkan khas kepada golongan B40 oleh Kerajaan MADANI sejak Jun hingga kini.
Pengarah JPJ Kelantan Mohd Misuari Abdullah berkata, baki kira-kira 100 calon lagi akan diselesaikan akhir tahun ini.
"Yang menerima 2,400 jadi masih ada baki sedikit lagi yang masih belum terima. Di peringkat pertama Ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) untuk dapat lesen L.
"Kemudian ujian berikutnya dan seterusnya hingga memiliki lesen. Jadi untuk di Kelantan, ia hampir selesai," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program MyLesen B2 di sini.
Program bawah Belanjawan MADANI 2024 itu menelan belanja sebanyak RM1,019,150.
Program Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia (BLKM) merupakan inisiatif kerajaan bawah Belanjawan MADANI 2024 yang menelan belanja sebanyak RM1,019,150 untuk memberi manfaat kepada 2,585 golongan B40 di seluruh Kelantan.
Daripada angka itu 2,500 calon bagi Program MyLesen B2, MyGDL (35 calon), MyPSV (30 calon) dan MyEHO atau e-hailing seramai 20 calon.
Inisiatif itu merupakan usaha Kementerian Pengangkutan untuk menaik taraf kehidupan golongan B40 dalam bentuk bantuan e-kasih bagi membuka lebih peluang untuk menjana pendapatan rakyat.
Ke arah usaha berkenaan, JPJ Kelantan telah melaksanakan program itu ke seluruh daerah dengan tumpuan kepada kategori berumur 16 tahun ke atas dari kumpulan B40 seperti yang dimuktamadkan pihak ibu pejabat.
Bagi tujuan tersebut, pihaknya berkolaborasi dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan (PPNK) ICU JPM, Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen, Jabatan Pendidikan Negeri dan beberapa agensi lain.