KUALA LUMPUR, 10 Oktober- 19 penduduk terjejas susulan banjir kilat di Kampung Periuk, Kampung Baru dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri Wilayah, di sini.
Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Titiwangsa Mohamad Riduan Akhyar berkata, kira-kira dua jam masa yang diambil bagi menyelamatkan penduduk di kawasan itu.
Bagaimanapuan tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.
Mohamad Riduan berkata, kerja-kerja pemindahan penduduk segera dilakukan berikutan hujan lebat dijangka akan turun lewat malam nanti dan ia akan menyukarkan kerja-kerja menyelamat.
"Kita jalankan operasi pemantauan banjir di Kampung Baru seawal 5.00 petang tadi. Kita tidak menunggu panggilan penduduk namun melakukan pemantauan awal di lokasi. Sejurus sampai di lokasi, kita dapati air semakin naik akibat hujan lebat berterusan.
"Kita tengok keadaan semasa, jika hujan berhenti dan air semakin surut, kita akan buat pemantauan berterusan. Jika dibenarkan pulang, kita akan maklumkan," katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi menyelamat penduduk terjejas banjir di ibu negara.
Penduduk terjejas terdiri daripada lapan lelaki dan 11 wanita termasuk empat warga emas.
(Mohamad Riduan Akhyar)