ALOR SETAR, 15 Februari- 19 lelaki berusia 20 hingga 43 tahun; Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan polis di kilometer 45, Lebuhraya Utara Selatan berdekatan Alor Setar, Jumaat lalu.
Turut ditahan, seorang lelaki berusia 38 tahun, pemandu van dan disyaki menjalankan aktiviti penyeludupan migran.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata pada kejadian itu, sepasukan polis ronda cegah jenayah, membuat intipan di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam.
Semasa intipan dijalankan, sebuah van dalam keadaan mencurigakan berhenti di tepi jalan dan kelihatan beberapa orang dipercayai warga asing muncul dari kawasan semak dalam keadaan tergesa-gesa masuk ke van tersebut.
Van itu kemudiannya memecut laju ke arah jalan besar yang menghubungkan Lebuhraya Utara Selatan menuju ke arah selatan.
Hasil soal siasat, kesemua PATI gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan diri yang sah memasuki Malaysia.
Pemandu van direman bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah khas) 2012 bermula 12 Februari lalu sehingga 12 Mac depan.
Manakala kesemua suspek warganegara Myanmar direman mengikut Seksyen 51(1)(5)(b) Imigresen 1959/63 bermula 12 Februari lalu sehingga 26 Februari ini.
Kes disiasat bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).