fb fb fb fb fb

Kerajaan setuju lulus peruntukan tambahan RM200 juta bantu usahawan mikro terjejas banjir dan COVID-19

 


JOHOR BAHRU, 15 Februari- Kerajaan bersetuju meluluskan peruntukan tambahan RM200 juta lagi menerusi Skim Pembiayaan Informal (SPIN) bagi membantu usahawan mikro yang terjejas akibat COVID-19 dan banjir di negara ini.

Ini menjadikan keseluruhan bantuan SPIN berjumlah RM400 juta, yang akan mula dibayar bulan depan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Tan Sri Noh Omar berkata, bantuan tersebut memberi manfaat kepada 13,600 usahawan terkesan.

"Bukan sahaja membantu usahawan yang terkesan akibat COVID-19, tetapi juga usahawan yang terjejas banjir dan Perdana Menteri mengumumkan bahawa usahawan yang terlibat, usahawan mikro yang terlibat dalam banjir akan diberi secara sekali bayar RM3,000 kemudian usahawan IKS terlibat banjir akan diberikan pinjaman maksimum RM100,000 tanpa cagaran serta moratorium selama satu tahun," kata Noh.

 

(Tan Sri Noh menyampaikan sumbangan peralatan sekolah kepada 200 pelajar menerusi Program Kembali Ke Sekolah Uda Holding Berhad)

 

Fokus bantuan tertumpu kepada peniaga kecil yang tidak berdaftar dengan suruhanjaya syarikat Malaysia (SSM), tidak memiliki lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mereka yang berniaga di rumah.

Beliau berkata demikian selepas penyerahan peralatan sekolah kepada 200 pelajar di sekitar Johor Bahru menerusi Program Kembali Ke Sekolah Uda Holding Berhad.

Media Baharu