(FOTO HIASAN/ BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 10 Jun - Tarikh melihat anak bulan Zulhijah bagi menetapkan tarikh Hari Raya Aidiladha adalah pada petang Ahad, 18 Jun bersamaan 29 Zulkaedah 1444 Hijrah.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh 1 Zulhijah dan tarikh 10 Zulhijah iaitu Hari Raya Aidiladha yang ditetapkan melalui radio dan televisyen.
“Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Korban adalah berdasarkan rukyah dan hisab,” menurut kenyataan pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hari ini.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan telah diperkenankan untuk melihat anak bulan Zulhijah pada petang hari tersebut di lebih 20 lokasi di seluruh negara.
Lokasi tersebut ialah di Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka; Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan serta Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor.
(FOTO FAIL/ BERNAMA)
Selain itu, di Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, daerah Manjong, Perak; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang serta Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar, Alor Setar di Kedah.
Lokasi lain ialah di Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut dan Balai Cerap Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Mukim Merang, Setiu di Terengganu serta Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai dan Menara Bangunan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (SEDC), Kota Bharu di Kelantan.
Manakala lokasi di Pahang pula melibatkan Pusat Falak, Miri dan Teluk Bandung, Kuching di Sarawak; Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan di Sabah serta Bukit Tanjong Batu, Nenasi; Gunung Berinchang, Cameron Highlands dan Bukit Pelindong, Kuantan di Pahang.
Turut menjadi lokasi melihat anak bulan itu ialah Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Menara Pandang, Masjid Al-Hussain Kuala Perlis, Perlis.