fb fb fb fb fb

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke Istiadat Mengarak Panji-Panji

PUTRAJAYA, 10 Jun- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan istiadat mengarak Panji-Panji sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda.

Turut berangkat sama, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Istiadat berlangsung di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya pagi tadi.

Kenderaan diraja yang membawa Seri Paduka berdua tiba kira-kira pukul 8.30 pagi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Istiadat dimulakan dengan perbarisan mempersembahkan 'Hormat Diraja' Negaraku diikuti Tembakan Kehormatan 21 das oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) yang diketuai Leftenan Kolonel Mohammad Asri Che Wil dan Terbang Lintas oleh lima helikopter Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sebanyak lima Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diarak oleh tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM) melibatkan Panji-Panji Rejimen Askar Melayu Diraja, Rejimen Renjer Diraja dan Kor Armor Diraja.

Di samping Panji-Panji Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Panji-Panji Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). 

Istiadat melibatkan 131 pegawai dan 1,087 anggota lain-lain pangkat.

Ia turut diserikan dengan penglibatan lima buah pesawat ATM iaitu 3 buah Helikopter EC725AP, sebuah Agusta 109 dan sebuah Superlynx yang membuat formasi terbang lintas hormat dengan membawa Bendera Jalur Gemilang, Bendera ATM, TDM, TLDM dan TUDM diketuai Mejar Mohd Husni Mohd Tarmizi.

(Foto Bernama)

Seri Paduka Baginda seterusnya memeriksa perbarisan diikuti pembukaan medan oleh pancaragam dan kemudian Pengiring Panji-Panji mengambil Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong disusuli lagu Negaraku (naskhah ringkas) dan berlangsung Perarakan Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong.

Perbarisan mengarak panji-panji merupakan satu istiadat gilang gemilang kepada ATM yang merupakan satu penghormatan dan lambang kemegahan, semangat dan ketaatsetiaan yang tidak berbelah bahagi ATM terhadap Raja dan Negara. 

Keseluruhan perbarisan pada pagi ini diiringi gabungan Pancaragam Pusat Angkatan Tentera Malaysia di bawah pimpinan Leftenan Kolonel (DOM), Muhamad Nor Azizan Yahaya. 

Istiadat diakhiri dengan bacaan doa, nyanyian lagu Negaraku bersekali lintas helikopter ATM.

Media Baharu