fb fb fb fb fb

179 rumah setinggan atas air terbakar

KUDAT, 16 Februari - [KEMASKINI] Kebakaran melibatkan ratusan rumah setinggan di Kampung Landung Ayang Laut, sudah berjaya dipadamkan sepenuhnya selepas hampir 5 jam dalam operasi pemadaman, hari ini.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Negeri Misran Bisara, ia hasil operasi 37 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang bertungkus lumus memadamkan api sejak menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 4.26 petang.

"Sebanyak 179 buah rumah setinggan jenis tidak kekal musnah terbakar dengan keluasan kebakaran 4.64 hektar, manakala 471 buah rumah berjaya diselamatkan.

"Anggaran awal bilangan mangsa adalah dalam 1,062 orang dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya kepada RTM di sini, hari ini.

Katanya, dalam operasi pemadaman itu, anggota bomba menggunakan satu aliran 2 pancutan sumber air dari tangki jentera dan tangki air.

"Kebakaran berjaya dikawal dari terus merebak dan operasi ditamatkan pada pukul 8.15 malam," tambahnya.

Bagaimanapun, anggaran kerugian masih dalam siasatan.

FOTO BOMBA

Terdahulu, RTM melaporkan, kira-kira 50 buah rumah setinggan atas air musnah dalam kebakaran di Kampung Landung Ayang Laut.

Dalam kejadian pada 4.26 petang itu, sebanyak tiga jentera dari Balai Bomba Kudat, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kudat dan Balai Bomba Kota Marudu dikerah bagi menjalankan operasi memadam api kebakaran.

Operasi memadam api kebakaran turut dibantu pasukan bomba daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berada berhampiran kawasan kejadian.

Media Baharu