KOTA TINGGI, 5 Februari - Seramai 172 penduduk terjejas banjir direkodkan di Pengerang, di sini sehingga tengah hari ini berikutan hujan berterusan sejak malam tadi.
Dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan pendudu terjejas, melibatkan Dewan Muafakat Taman Desaru dan Dewan Kampung Baru Sungai Mas.
Menurut maklumat Jawatankuasa Pengurusan Bencana daerah, kawasan yang dinaiki air sejak malam tadi ialah di Kampung Baru Sungai Mas, Taman Desaru Utama dan Taman Penawar Harmoni.
Laporan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) juga menjangkakan hujan lebat serta ribut petir akan melanda Johor hingga 2 petang ini.
Bacaan sungai Johor serta Sungai Jemaluang pula menunjukkan pada aras waspada hingga pukul 11.00 pagi tadi.