fb fb fb fb fb

171 penumpang selamat, pesawat AirAsia mendarat cemas di KLIA 2

Foto JBPM

SEPANG, 27 Mac – Sebuah pesawat AirAsia yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Shenzhen terpaksa berpatah balik dan melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) selepas mengalami kebakaran enjin sejurus berlepas.

Pesawat Airbus A320-216 yang membawa seramai 171 penumpang dan kru itu berlepas pada pukul 9:59 malam, sebelum juruterbang mengesan masalah pada enjin kanan dan mengambil keputusan untuk berpatah balik.

Menurut Komander Operasi, PBK I KUP Rosli Ramli, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10:37 malam, dan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA segera digerakkan ke lokasi dengan kekuatan sembilan anggota serta sebuah jentera FRT.

"Pesawat berlegar di udara sementara menunggu arahan pendaratan sebelum berjaya mendarat sebelum berjaya mendarat dengan selamat di landasan 3 KLIA 2 dengan selamat pada pukul 12:08 pagi," katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, siasatan mendapati kebakaran berpunca daripada kerosakan pada Pneumatic Ducting pesawat.

Bagaimanapun, sistem pemadam api automatik Halon telah berfungsi dengan baik dan berjaya memadamkan kebakaran sebelum pesawat menyentuh landasan.

Kesemua 171 penumpang dan anak kapal berada dalam keadaan selamat, dan operasi penyelamatan telah berjalan lancar tanpa sebarang insiden.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD