KUALA LUMPUR, 12 Januari – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) terus diingati oleh bekas pelatihnya sebagai pengalaman berharga yang memberi impak besar dalam kehidupan mereka meskipun 17 tahun telah berlalu.
Dua alumni PLKN, yang kini berkhidmat dalam industri media sebagai wartawan dan jurukamera, berkongsi pengalaman mereka sepanjang menyertai program tersebut pada tahun 2008.
Mereka menyifatkan program PLKN berjaya memupuk disiplin, keyakinan diri, dan semangat perpaduan, yang kini menjadi asas kukuh dalam kerjaya mereka.
Wartawan, Hasnah Jusid, 34, berkata modul kenegaraan yang diterapkan dalam PLKN banyak mengajarnya mengenai semangat patriotisme, jati diri, dan pentingnya bekerja dalam pasukan.
"PLKN menjadikan saya lebih berdisplin terutamanya dalam soal pembahagian masa, dan membina keberanian untuk melontarkan pendapat sendiri.
"Dalam kerjaya pula memerlukan saya berinteraksi dengan orang ramai daripada pelbagai latar belakang, nilai-nilai murni yang saya pelajari semasa PLKN telah meningkatkan keyakinan diri untuk berkomunikasi dalam mendapatkan maklumat, selain memudahkan interaksi dengan rakan sekerja daripada pelbagai kaum.
"Yang saya tidak boleh lupakan adalah hubungan persahabatan yang saya bina semasa PLKN pada tahun 2008. Hingga ke hari ini, hubungan tersebut masih kekal, terutamanya dengan rakan-rakan bangsa Cina, India, dan lain-lain," katanya yang merupakan bekas pelatih Kem PLKN KK Di Bawah Bayu, Tuaran, Sabah
Hasnah Jusid ketika menyertai PLKN Kem Kota Kinabalu, Sabah pada 2008.
Sementara itu, jurukamera, Khairi Ismail, 35, mengimbau kembali pengalamannya di Kem PLKN Chenderiang, Tapah, Perak, ketika itu berumur 18 tahun.
Katanya, walaupun pada awalnya berat hati mengikuti program selama tiga bulan, namun pengalaman tersebut akhirnya mengubah dirinya menjadi lebih berdisiplin dan yakin terhadap kemampuan diri.
"Pada saya, pengalaman PLKN sangat menarik. Mula-mula, memang saya rasa tak nak pergi, terfikir kena bangun pagi, disergah dengan askar, dan sebagainya. Tak pernah terlintas pun nak jadi askar.
"Tapi, selepas habis latihan, saya sedar ia mengubah diri saya. Kalau sebelum ini tiada disiplin, saya belajar untuk bangun awal pagi, solat berjemaah, buat aktiviti petang, dan jaga kebersihan tempat tidur setiap hari.
"Ia juga membantu membentuk keyakinan diri. Bagi yang kurang yakin, PLKN benar-benar membantu mereka menjadi lebih berani dan percaya pada diri sendiri,” katanya.
Hari ini, seramai 120 pelatih diterima menyertai PLKN 3.0 siri pertama 2025 hingga 25 Februari depan di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, Kuala Lumpur.
Siri pertama selama 45 hari itu membabitkan 80 pelatih lelaki dan 40 wanita berumur antara 18 hingga 25 tahun.
PLKN mula diperkenalkan pada Disember 2003 sebagai program yang menyediakan modul latihan selama tiga bulan meliputi modul fizikal, kenegaraan, pembinaan karakter dan khidmat komuniti.