PORT DICKSON, 12 Januari- Pelajar perempuan yang mengandung atau bersalin tidak boleh dinafikan daripada menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), jelas Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek
Beliau berkata pendidikan adalah keutamaan dan perjuangan untuk memastikan tidak ada pelajar yang tercicir harus diteruskan termasuk mereka yang berkahwin atau memiliki anak di usia remaja.
"Perjuangan ini perlu diteruskan kerana soal pendidikan adalah sangat penting. Tidak mengapa jika mengandung atau bersalin tetapi SPM tetap perlu diambil," kata Fadhlina.
Justeru Fadhlina menegaskan bahawa pindaan terhadap Akta Pendidikan 1996 bagi mewajibkan pendidikan hingga peringkat menengah adalah langkah penting.
"Saya juga ingin memastikan pindaan terhadap umur perkahwinan terus menjadi keutamaan. Mengapa? Kerana ada anak perempuan yang tidak dapat hadir ke SPM akibat perkahwinan atau mengandung pada usia yang terlalu muda seperti 17 tahun," tambahnya.
Pindaan akta itu dijangka akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Februari depan.
Pada masa ini, Akta Pendidikan 1996 hanya mewajibkan pendidikan selama enam tahun iaitu pendidikan rendah.
Fadhlina berkata demikian ketika sesi forum pada Majlis Konvensyen Wanita Pakatan Harapan Negeri Sembilan di sini hari ini. Majlis turut dihadiri dan dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.