fb fb fb fb fb

Kepengerusian ASEAN: Rakyat berkongsi rasa teruja dan bangga

Rata-rata orang ramai yang ditemui Berita RTM di ibu kota berharap penganjuran ini memberi impak positif kepada ekonomi negara

KUALA LUMPUR, 12 Januari – Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 yang bermula tahun ini disambut baik oleh rakyat, dengan menyatakan keterujaan dalam mengukuhkan komuniti ASEAN.

Rata-rata orang ramai yang ditemui Berita RTM di ibu kota berharap penganjuran ini memberi impak positif kepada ekonomi negara, khususnya sektor pelancongan.

Mohd Nizam Abd Malik berkata, rakyat Malaysia harus berbangga kerana negara menggalas tanggungjawab sebagai pengerusi ASEAN tahun ini.

"Kita perlu membuktikan kemampuan Malaysia, terutamanya dari segi ekonomi, dan menangani apa jua isu yang timbul sepanjang penganjuran ini," katanya.

Mohd Nazri Alyasha pula menyarankan agar Malaysia memanfaatkan peluang ini untuk mempromosikan kebudayaan, agama, serta lokasi bersejarah kepada negara-negara ASEAN.

"Untuk pertama kali, kita perlu mempromosikan kebudayaan kita, termasuk aspek budaya, agama, dan tempat-tempat menarik. Kalau boleh, kita pamerkan lokasi bersejarah yang ada di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Syukria Aziz menekankan kepentingan menunjukkan sikap positif kepada delegasi yang hadir.

"Saya berharap kita sebagai rakyat Malaysia dapat menunjukkan sikap yang baik kepada mereka yang akan datang ke negara kita. Saya sangat teruja dan tidak sabar menantikan program-program yang akan datang.

"Kita bukan sahaja mengharapkan pimpinan negara memberikan semangat yang padu, tetapi juga sokongan penuh daripada rakyat Malaysia, bersama-sama menunjukkan keterujaan kita," katanya.

Malaysia pernah memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005, dan 2015.

Diasaskan pada 8 Ogos 1967, ASEAN kini dianggotai 10 negara Asia Tenggara iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam.

GRACE AISYAH KEDAYAN