KYIV, 29 Julai – Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh manakala 35 lagi cedera selepas serangan udara tentera Rusia menyasarkan sebuah koloni penal di wilayah barisan hadapan Zaporizhzhia pada malam Isnin, menurut Gabenor Zaporizhzhia, Ivan Fedorov.
Fedorov dalam kenyataan di Telegram berkata, koloni itu musnah sepenuhnya, selain beberapa rumah kediaman berhampiran turut mengalami kerosakan.
Perkhidmatan Penjara Negara Ukraine turut mengeluarkan beberapa imej yang menunjukkan keadaan penjara yang musnah akibat serangan.
Namun, agensi berita Reuters tidak dapat mengesahkan lokasi serta tarikh sebenar foto-foto tersebut.
Ketua Staf Presiden Ukraine, Andriy Yermak, mengecam serangan itu sebagai “satu lagi jenayah perang” yang dilakukan oleh Rusia, ketika konflik bersenjata antara kedua-dua negara terus berlarutan. - REUTERS