KUALA LUMPUR, 14 Oktober - Sasaran tahunan sebanyak 300 penerima yang layak berjaya dicapai Tabung Kasih @HAWANA.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata peruntukan keseluruhan tabung berkenaan yang bernilai hampir RM1 juta berjaya diagihkan kepada 275 pengamal media tahun ini dengan jumlah sumbangan keseluruhan melebihi RM830,000
" Tahun ini, kami memperuntukkan RM1 juta di bawah Tabung Kasih Hawana ini dan setakat 13 hari bulan Oktober, kami sudah ada seramai 275 orang penerima yang datang dari industri media telah menerima bantuan daripada Tabung Kasih Hawana dan sumbangan keseluruhan yang telah disampaikan adalah 830 ribu ringgit Malaysia," katanya.
Beliau ditemui media pada Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung Kasih Hawana bersempena Deepavali di Wisma BERNAMA.
Seramai 532 pengamal media telah memanfaatkan tabung berkenaan dengan jumlah sumbangan melebihi1.53 juta ringgit sejak ia mula dilancarkan pada Mei 2023.
Beliau menyifatkan inisiatif tersebut sebagai bukti komitmen berterusan Kerajaan MADANI menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi memastikan kebajikan para pengamal media terus diberi perhatian.
Seramai 16 pengamal media yang berdepan masalah kewangan dan kesihatan menerima sumbangan menerusi inisiatif Tabung Kasih@HAWANA menjelang sambutan Deepavali.
Beliau turut berharap agar Tabung Kasih@HAWANA terus diperkasa dan peruntukannya dapat ditambah dari semasa ke semasa supaya lebih ramai pengamal media yang memerlukan dapat dibantu.