fb fb fb fb fb

16 pemancing ditahan, memancing di kawasan tidak dibenarkan

Hasil tangkapan dari Taman Laut Pulau Payar

KUALA KEDAH, 12 Jun- Anggota Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan Kelunchur Taman Laut Pulau Payar menahan 16 pemancing warga tempatan kerana memancing di kawasan yang tidak dibenarkan.

Kesemua mereka ditahan ketika sedang memancing pada kedudukan 1.8 batu nautika dari Taman Laut Pulau Payar.

Pengarah Perikanan Negeri Kedah Pang Anak Nyukang dalam satu kenyataan berkata, kesemua pemancing berkenaan didapati melakukan kesalahan bawah Seksyen 43(1)(a) iaitu menangkap atau cuba menangkap ikan di kawasan Taman Laut dan Seksyen 43(1)(e) iaitu menjatuhkan apa-apa jenis pemberat di dalam kawasan Taman Laut dalam Akta Perikanan 1985.

"Kesemua warga tempatan yang berada di atas bot telah ditahan untuk siasatan lanjut. Sebuah bot kargo/penumpang, set peralatan memancing dan hasil tangkapan dengan nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM200,000 turut disita," katanya.

Jelas Pang, kawasan Taman Laut Pulau Payar diwujudkan bagi memastikan sumber perikanan mempunyai kawasan untuk berkembang biak bagi menambah sumber perikanan Negeri Kedah.

"Semua pihak perlu sama-sama mengambil cakna tentang peraturan-peraturan berkaitan Taman Laut Pulau Payar ini dan kepentingan kawasan Taman Laut itu sendiri," katanya.

Pada masa sama Jabatan Perikanan akan sentiasa bersiap-siaga mengawasi perairan taman laut daripada dicerobohi pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI