fb fb fb fb fb

16 NGO serah memorandum kepada PM, sokong peranan Malaysia dalam keamanan global

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Ahmad Fahmi Mohd Samsudin

PUTRAJAYA, 24 Oktober - 16 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyerahkan satu memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi menzahirkan sokongan terhadap usaha beliau memperkukuh peranan Malaysia sebagai pemain utama di peringkat global dalam isu keamanan dan kemanusiaan.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, memorandum berkenaan turut menekankan kepentingan Malaysia untuk memanfaatkan kedudukan sebagai pengerusi ASEAN dalam membawa suara rantau ini ke pentas dunia.

Antara intipati memorandum itu ialah sokongan terhadap usaha kerajaan memulihkan ekonomi negara, namun menegaskan bahawa hubungan antarabangsa perlu berlandaskan prinsip menghormati kedaulatan negara, maruah rakyat serta keadilan sosial.

"Memorandum ini turut menyeru Malaysia memainkan peranan aktif sebagai mediator dan fasilitator dalam menangani isu serantau seperti konflik di Myanmar, Rohingya, Laut China Selatan serta krisis kemanusiaan di Timur Tengah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas penyerahan memorandum itu kepada Perdana Menteri di Surau Al-Quddus, Presint 16, di sini.

Ahmad Fahmi berkata, memorandum itu juga menyatakan sokongan terhadap ketegasan Perdana Menteri dalam membela hak rakyat Palestin serta memperkukuh suara kemanusiaan global melalui kerjasama antara kerajaan, ASEAN dan masyarakat sivil.

"Malaysia perlu menyampaikan mesej yang jelas dengan menolak dasar luar Amerika Syarikat yang terus menyokong pendudukan haram Israel serta menggesa reformasi terhadap sistem antarabangsa yang berat sebelah," katanya.

NGO terbabit turut menzahirkan keyakinan bahawa Malaysia berupaya menjadi suara nurani dunia yang memperjuangkan keadilan sejagat dan membela golongan tertindas selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Antara NGO terlibat ialah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Wadah, PKPIM, Haluan, Global Peace Mission Malaysia (GPM), BDS Malaysia, Majlis Belia Malaysia (MBM), MAPIM, Ehsan Malaysia, Murabbi Madani, dan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM).

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI