SINTOK, 18 Februari – Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Datuk Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, 16 peratus daripada 172,570 alumni atau lepasan UUM terlibat dalam industri perkhidmatan kewangan dan sektor awam.
Menurut beliau, seramai 850 kakitangan institusi perbankan utama, Maybank merupakan alumni UUM dan jumlah yang agak tinggi juga berkhidmat di Bank Islam yang mencerminkan kecemerlangan UUM dalam bidang pengurusan, perakaunan, perbankan dan kewangan.
“Tidak ketinggalan, alumni UUM turut memainkan peranan dalam sektor strategik lain seperti teknologi maklumat dengan 8 peratus, pembuatan (5 peratus) dan kesihatan (3 peratus). Data ini membuktikan kepelbagaian kepakaran yang dilahirkan oleh UUM dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara kita.
“Menerusi jaringan alumni yang luas dan berpengaruh dalam pelbagai bidang dan industri ini, kita yakin UUM akan terus memainkan peranan melahirkan graduan berdaya saing dan pemimpin untuk masa depan,” jelas Prof. Datuk Dr. Mohd Foad ketika berucap di Majlis Sambutan Hari Pengasasan UUM ke-41 dan Majlis Penghargaan Petugas Majlis Konvokesyen ke-37.
Tahun lalu, UUM berjaya menduduki ranking 151-200 bagi QS Global MBA dan pada masa sama, program MBA di UUM adalah nombor satu terbaik dalam kalangan universiti di negara ini.
Bagi Business School Rankings, subjek Accounting & Finance UUM diiktiraf sebagai 200 Terbaik Dunia oleh QS World University Rankings dan THE World University Rankings.
Subjek Business & Economics UUM pula diiktiraf sebagai 200 terbaik dunia oleh THE World University Rankings dan 250 Terbaik Dunia oleh QS World University Rankings.
Pada majlis itu, beberapa inisiatif baharu turut dilancarkan yang menjadi simbol transformasi UUM dalam membina ekosistem pendidikan yang lebih maju.
Antaranya, Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) yang bermatlamat memperkukuh persekitaran kerja lebih sistematik dan profesional dan inisiatif Smart Security Campus bagi meningkatkan tahap keselamatan kampus menggunakan teknologi moden.
e-FloraCyntok pula merupakan inisiatif hijau yang menerapkan aspek inovasi untuk memelihara biodiversiti kampus Sintok serta program Ihya Ramadan yang bertujuan memupuk nilai kerohanian dan kebersamaan komuniti UUM.