fb fb fb fb fb

154 fasiliti kesihatan dibangunkan di seluruh negara

Datuk Seri Fadillah Yusof menyaksikan penyerahan replika kunci antara Pengarah Jurutera Awam Penguasa Kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan Ir Zakaria Semail (kanan) kepada Timbalan Setiausaha bahagian kanan, Bahagian Pembangunan Kementeri Kesihatan Malaysia (KKM) Mohd Rashidi Yahaya (kanan) pada Majlis Penyerahan Projek Siap Hospital Bachok/ Foto BERNAMA

BACHOK, 11 Oktober- Sebanyak 154 projek fasiliti kesihatan dibangunkan di seluruh negara membabitkan kos keseluruhan berjumlah hampir RM14.7 bilion menerusi Rancangan Malaysia ke-9 (RMKe-9) hingga RMKe-12.
 
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata, daripada jumlah berkenaan, 111 projek diluluskan menerusi RMKe-9 hingga RMKe-11, manakala 43 projek lagi bawah RMKe-12.

Kesemua projek bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) itu meliputi tiga peringkat iaitu pasca siap, dalam pembinaan dan pra pembinaan.
 
"...untuk tahun ini sahaja, 13 buah projek fasiliti kesihatan awam berjaya disiapkan termasuklah beberapa bangunan hospital antaranya menaik taraf Hospital Tawau dan membina blok tambahan Hospital Seri Manjung," katanya.

Fadillah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Siap Hospital Bachok, di Gunong, di sini.
 
Manakala di Kelantan, 21 projek dalam peringkat perancangan, pembinaan dan sudah siap dilaksanakan dalam tempoh RMKe-10 hingga RMKe-12.
  
Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
 
Hospital Bachok membabitkan kos RM71.3 juta sebelum ini dilaporkan terbengkalai akhirnya siap pada Julai lalu.
 
Hospital yang dibina atas tanah seluas 20.3 hektar sejak 2017 itu dijangka akan mula beroperasi November ini, dengan kemudahan 76 katil disediakan.
 
Ia bakal memberikan kemudahan yang lebih selesa kepada penduduk sekitar daerah Bachok khususnya, selain penduduk Kelantan amnya.

Dalam pada itu kerajaan akan segera menyelesaikan masalah berhubung pelaksanaan projek tebatan banjir di Kelantan.
 
Fadillah menyatakan komitmen itu dan akan mencari penyelesaian supaya dapat menyiapkan projek berkenaan sebagaimana yang dirancang.

Penyelesaian kepada masalah banjir di Kelantan kekal menjadi fokus utama di peringkat persekutuan terutama membabitkan isu permasalahan kontraktor.
 
Media sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan projek tebatan banjir dan loji bekalan air bersih di Kelantan perlu disegerakan.
 
Perdana Menteri berkata, projek itu perlu dilakukan demi kepentingan rakyat negeri itu meskipun kedua-dua projek membabitkan kos yang agak tinggi.
 
Dalam perkembangan lain, Fadillah berkata, satu lagi projek bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) iaitu Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai fasa 2b akan bermula November depan dan berharap projek berkenaan dapat disiapkan dengan segera.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI