KOTA TINGGI, 11 Oktober- Tiga menteri bakal membentangkan kertas kerja berkaitan isu Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) pada hari kedua Persidangan Dewan Rakyat, Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Parlimen, 15 Oktober ini.
Menteri berkenaan merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar; Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, setiap menteri akan membentangkan tentang aspek akidah, pelanggaran undang-undang dan berkaitan bantuan yang akan diberikan kepada mangsa GISBH.
"Sebab saya rasa terdapatnya beberapa macam persoalan yang masih tertanya pada pandangan umum tentang mungkin kenapa banyak orang buat laporan tetapi tindakan itu lambat dan sebagainya.
"Saya tidak dapat menjawab sebab saya tidak bertanggungjawab dalam isu ini, tetapi alhamdulillah ketiga-tiga menteri bertanggungjawab itu akan memberi penerangan tentang apa yang telah berlaku dan apa yang kerajaan sedang dilakukan," katanya.
Azalina berkata demikian ketika ditemui semasa Karnival Literasi Undang-Undang Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri di Dewan Kejora, Bandar Penawar, di sini.
Perbahasan berkenaan juga akan menentukan berkenaan pewujudan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu diwujudkan.