fb fb fb fb fb

14 pelajar dikejarkan ke hospital akibat tumpahan merkuri

KULIM, 15 November- Seramai 14 pelajar dan seorang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kulim di Taman Berlian, di sini, dikejarkan ke hospital selepas mengalami gatal-gatal pada muka dan tangan akibat tumpahan merkuri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Penolong Penguasa Bomba Hamizul Azwan Hamdan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian daripada pihak sekolah pada pukul 11.20 pagi.

“Sebuah jentera dan ambulans bomba dengan 11 anggota bergegas ke tempat kejadian dan hasil pemeriksaan mendapati sebuah unit merkuri jatuh ke lantai makmal dan pecah.

“Akibat tumpahan itu, seramai lima pelajar lelaki dan sembilan pelajar perempuan berusia 11 tahun serta seorang guru wanita berumur 36 tahun, mengalami kegatalan di bahagian muka dan tangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

(Foto fail)

Beliau berkata tumpahan merkuri berkenaan tidak terkena secara langsung pada kesemua mangsa, tetapi mereka dihantar ke Hospital Kulim untuk rawatan lanjut akibat gejala kegatalan yang dialami.

“Kerja-kerja pembersihan telah dijalankan di kawasan yang terjejas dan operasi telah ditamatkan sepenuhnya pada pukul 12.40 tengah hari,” katanya.

Media Baharu