fb fb fb fb fb

133 penumpang feri ke Langkawi terkandas

(FOTO APMM)

KUALA KEDAH, 29 Oktober- Sebuah feri penumpang dari Kuala Kedah ke Pulau Langkawi terkandas kira kira pukul 4.30 petang tadi.

Feri Starcity Express 6 yang membawa 133 penumpang terkandas di kedudukan 0.5 batu nautika muara Kuala Kedah.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, anggotanya diaturgerak ke lokasi kejadian sejurus menerima aduan dalam usaha membantu sebelum paras air mulai surut.


(Feri Starcity Express 6 yang membawa 133 penumpang terkandas di kedudukan 0.5 batu nautika muara Kuala Kedah/APMM)

Feri tersebut terkandas dipercayai cuba mengelak tali sauh kapal korek pasir di muara Kuala Kedah.

"Kesemua penumpang feri berjaya dibawa keluar oleh bot APMM yang turut dibantu oleh beberapa bot nelayan yang berada berhampiran untuk dibawa ke Jeti Kuala Kedah," kata Noor Azreyanti.

Operasi menyelamat yang dikoordinasikan Maritim Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi ditamatkan pada pukul 6.30 petang setelah kesemua penumpang berjaya dibawa ke Jeti Penumpang Kuala Kedah dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan.

Media Baharu