JOHOR BAHRU, 23 Jun - Sebanyak RM102,600 kompaun dikenakan terhadap 125 penternak, pemborong dan peruncit telur dan ayam segar di Johor bagi kesalahan di bawah Penentuan Harga Maksimum bagi Ayam dan Telur Ayam kerana tidak mematuhi Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
EXCO Pelaburan Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Lee Ting Han berkata, tindakan diambil hasil pemeriksaan ke atas 4,657 peruncit, pemborong dan pengeluar, sejak 5 Februari hingga 13 Jun lalu.
“KPDNHEP Johor giat melaksanakan penguatkuasaan serta pemeriksaan menangani isu kenaikan harga barang yang dilaporkan menerusi pelbagai pendekatan berterusan dan agresif dengan pelaksanaan Op Pasar, Op Rantai dan Op Catut bagi menangani isu kenaikan harga barangan tertentu.
“Seramai 92 Pegawai Pemantau Harga (PPH) juga aktif mengumpul informasi terkini dan membuat kutipan data harga barangan keperluan pengguna terpilih secara harian, mingguan dan bulanan dalam pasaran sebagai rujukan untuk merangka pelan perancangan serta tindakan komprehensif bagi memastikan kestabilan harga dan bekalan barangan.
“Setakat Jun 2022, pelaksanaan inisiatif ini melibatkan 22 premis pasar basah, 28 pasar mini, 67 pasar raya dan 22 kedai runcit di semua daerah di seluruh negeri Johor,” katanya ketika menjawab soalan Nor Rashidah Ramli (BN-Parit Raja) tentang tindakan, laporan penguatkuasaan dan perancangan kerajaan negeri dalam menangani kenaikan harga barang pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Dalam pada itu, kompaun berjumlah RM3,800 dikeluarkan sepanjang penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina manakala 14 kes didakwa membabitkan nilai kompaun RM2000 dikenakan sepanjang penguatkuasaan musim perayaan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.