fb fb fb fb fb

Empat pertuduhan rasuah melibatkan Lim Guan Eng bernilai RM6.34 bilion

KUALA LUMPUR, 23 Jun - Perbicaraan kes rasuah melibatkan Lim Guan Eng, seorang kontraktor memberitahu Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur bahawa dia pernah memberi wang tunai berjumlah RM200,000 kepada bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan merangkap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang pada 2013 dan 2014.

Pemberian tersebut bertujuan sebagai mengotakan janji selepas syarikatnya diberikan projek pembinaan terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang.

Pada Prosiding hari ini, Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli, 62, yang merupakan Pengarah Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG) itu berkata,wang itu sebahagian daripada rasuah yang diminta oleh Lim Guan Eng melibatkan nilai 10 peratus daripada hasil keuntungan bersih yang diperoleh syarikatnya.

Beliau menyerahkan wang RM100,000 kepada Lim pada 2013 sebagai tanda ‘milestone’ pembayaran perjanjian awal daripada keuntungan projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang.


(Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng (kanan) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini)

"Sumber wang tunai RM100,000 ini adalah dari wang syarikat ZCSB. Duit RM100,000 ini adalah sebahagian wang rasuah daripada 10 peratus yang diminta oleh YB Lim Guan Eng," katanya.

Zarul Ahmad berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes rasuah Lim yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Menceritakan kejadian itu, Zarul Ahmad berkata beliau telah membuat temu janji dengan Lim pada Ogos 2013 melalui setiausaha sulit kanan Lim untuk memberi laporan berkenaan projek tersebut dan juga mendapat nasihat hala tuju daripada ahli politik itu.

Dalam pertemuan Ogos 2013, Zarul menyerahkan wang tunai RM100,000 dalam sampul kepada Lim di pejabatnya di KOMTAR.

Manakala pada Januari 2014 menjelang sambutan Tahun Baru Cina sebanyak RM100,000 lagi milik syarikatnya Vista Lestari Development Sdn. Bhd diberikan kepada Lim dalam pertemuan di tempat yang sama.

Saksi pendakwaan ke-23 itu turut menyatakan pada pertemuan bekas Menteri Kewangan itu tidak bertanya kandungan sampul tersebut dan juga tidak menerima sampul tersebut malah kelihatan gembira. 

Lim yang juga bekas setiausaha agung DAP itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat, yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.

Media Baharu