KAYANG, 26 Disember - Seramai 120 remaja dan kanak-kanak yang berjaya menamatkan pengajian iqra' dan al-Quran diraikan dalam Majlis Ihtifal Kelas Iqra' dan Al-Quran 2025 di Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Kuala Perlis.
Penyelaras Program Ihtifal Kelas Iqra dan Al-Quran 2025, Norhayati Hashim berkata, ia mencerminkan kejayaan usaha berterusan dalam melahirkan generasi celik ilmu dan berakhlak mulia.
"Jadikan Al-Quran sebagai pedoman kehidupan, cahaya dalam kegelapan dan peneman sepanjang perjalanan dunia hingga ke akhirat. Program pendidikan al-Quran seperti kelas iqra' dan al-Quran ini wajar diteruskan dan diperkasakan dari semasa ke semasa," katanya.
Beliau berkata demikian pada Perasmian Penutup Majlis Ihtifal Kelas Iqra' dan Al-Quran 2025 di Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Kuala Perlis.
Bagaimanapun kejayaan melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah kukuh sahsiah dan akhlak memerlukan kerjasama erat semua pihak termasuk pengurusan masjid, guru, ibu bapa serta masyarakat setempat.